Saturday 28 July 2012


Bismillah…’
Terpacul kalimah agung dari bibir Nisa’ saat kaki mula melangkah keluar dari kereta kancil putih nya. Terkumat kamit mulutnya membaca surah-surah amalan. Antara surah yang dilaziminya ialah surah al-Insyirah. Surah yang sentiasa memotivasikan dirinya, memberi kekuatan buatnya saat bertemu kesukaran.
Dirapi tudung labuh dan jubahnya sebaik mungkin.  Beg tangannya digalas di sebelah kanan, manakala tangan kirinya memegang fail. Perlahan dia menutup pintu keretanya dan menekan butang  lock pada kunci keretanya.
Tak dinafikan, perasaan gementar menghantarnya pagi itu. Segera ditawarkan dengan zikir-zikir.
‘Bismillahitawakal tu’alallah..Hasbunalllaha wani’mal wakil..Rabbi yassir wala tu’asir ‘
4 tahun berhempas pulas di universiti , hari ni bermulalah langkahnya sebagai seorang guru. Azam tersemat kukuh di dadanya. Bukan sekadar guru biasa-biasa, tetapi dia ingin menjadi pendidik. Ya! Pendidik generasi.  Pendidik ummah.
Dengan penuh semangat dan motivasi yang tinggi Nisa’ melangkah ke pejabat sekolah untuk melapor diri. Seterusnya, Cikgu Rasyidah membawanya ke tapak perhimpunan sekolah. Seperti kebiasaannya, para guru dan pelajar akan berkumpul di dataran perhimpunan sekolah pada pagi Isnin untuk perhimpunan mingguan.
Pada perhimpunan tersebut, pengetua sekolah, Encik Rasyidi memperkenalkan beberapa orang guru baru, salah seorang nya ialah Nisa’. Nisa’ diberi amanah untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris tingkatan 2, 4 dan 5. Berbekalkan ilmu yang ditimba nya sepanjang berada di bumi murabbi, iaitu tempat dia menimba ilmu selama 4 tahun di universiti,  Nisa’ yakin dia mampu menggalas amanah tersebut. Dia sedar, amanah bukan lah sesuatu yang ringan, tetapi berbekalkan keyakinan dan kebergantungan kepada Allah, Nisa’ menggagahkan jua dirinya.
********
                Hari-hari pertama di sekolah , adalah perkara yang agak janggal bagi Nisa’. Kalau sebelum ini, perjalanan hidupnya adalah sebagai seorang mahasiswa. Tetapi sekarang dia adalah pendidik generasi. Menggalas amanah sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah di kawasan kampung merupakan cabaran yang tidak kurang hebat baginya. Tapi setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana guru-guru senior di sekolah tersebut sudi memberi tunjuk ajar kepadanya.
Nisa’  senang, kerana salah seorang ustazah, yang selesa dipanggil Kak Ana sering bersamanya. Kak Ana sentiasa memberi semangat dan motivasi buat Nisa’.  Kebetulan juga, mereka berjiran di kuarters guru yang disediakan.
Hari ni Nisa’ diminta untuk menggantikan kelas 3 Kenanga. Cikgu  Azim  terpaksa mengambil cuti kerana ada urusan keluarga. Itulah kali pertama Nisa’ menjejakkan kaki ke kelas tersebut.
“Semua bangun…Assalamualaikum ustazah…” Suara ketua kelas memberi salam.
“Wa’alaikumussalam..” Nisa’ hanya tersenyum.  Sudah lali dengan panggilan tersebut. Penampilannya yang berjubah dan bertudung labuh sering dianggap ustazah oleh orang yang tidak mengenalinya. Dia akur, ustazah itu sebenarnya  juga membawa maksud guru.
Bagi mengisi masa , Nisa’ berta’aruf dengan para pelajar kelas tersebut. Ada di antara pelajara yang tersengih apabila mengetahui bahawa Nisa’ sebenarnya merupakan guru Bahasa Inggeris, bukan lah guru agama. Nisa’ senang melayan kerenah pelajarnya. Sesetengah pelajar menggunakan peluang yang ada untuk bertanyakan soalan berkaitan mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Kringggggggggggg.. kringggggg…
Loceng  yang menandakan waktu pembelajaran pada sesi tersebut telah tamat, dibunyikan. Nisa’ mengemas buku dan begnya. Beg tangan putih hadiah sahabat baiknya ketika di matrikulasi  setia bersamanya. Baginya pemberian itu cukup istimewa, kerana ia datang dari sahabat yang istimewa. Pelajar perempuan beratur untuk bersalam dengan Nisa’ sebelum dia keluar dari kelas tersebut.
Langkahnya di atur ke kelas 2 Mawar. Salah satu kelas yang dipegangnya. Setibanya di sana, kelas masih lagi kosong.
‘Mungkin mereka ke library..’ Bisik Nisa’ di dalam hatinya. Nisa’ masuk dan duduk di hadapan kelas, menunggu anak-anak muridnya.
Telefonnya berirama. Dilihat nama pemanggil di skrin telefonnya, lantas di jawab. Perbualan singkat cuma. Tak lama kemudian para pelajarnya masuk ke kelas.
“ Sorry  teacher. We’re late because  our previous class was at  library.”  Adam, ketua kelas menerangkan keadaan mereka.
“ It’s okay. I understand. Now, everyone, please submit your work that I gave yesterday. Monitor, please collect  all the books”. Nisa’ memberi arahan. Senyum di bibir tak lekang, membuatkan para pelajarnya senang dengan Nisa’ .Nisa’ menulis sesuatu di papan putih. Tajuk yang akan mereka pelajari pada hari tersebut.
Sesekali mengenangkan perjalanan hidupnya, Nisa’ tersenyum seorang diri. Mana tidaknya, tidak pernah pun terlintas di benak fikirannya untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris. Bahkan itulah subjek yang paling tidak diminatinya sewaktu belajar di sekolah dulu. Tapi inilah perancangan Allah.
Saat menerima tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan Bahasa Inggeris di peringkat ijazah sarjana muda, Nisa’ buntu. Hendak dilepaskan sayang, hendak diterima, itu bukan pilihan hatinya. Sedaya upaya, Nisa’ cuba berfikiran positif. Pujukan Allah melalui ayat cinta Nya, surah al-Baqarah, ayat 216  sedikit sebanyak mengajarnya untuk redha dengan rezeki Allah. Bahkan dia mendidik hatinya untuk bersyukur kerana berapa ramai lagi rakan seperjuangannya yang tidak berpeluang untuk mendapat peluang, menyambung belajar. Dalam masa yang sama, sahabat-sahabat sering mengingatkan bahawa pasti  terselit hikmah di sebalik ketetapan Allah tersebut.
Sekarang Nisa’ tersenyum lagi. Tak putus-putus kalimah pujian kepada Allah membasahi bibirnya. Hasratnya untuk menjadi seorang pendidik telah tercapai, meskipun bukan dalam bidang pilihan hatinya, namun dia masih berada di landasan yang sama. Apa jua bidangnya, Nisa’ sedar semuanya adalah ilmu Allah. Apa yang penting, peranannya untuk membawa manusia kepada Tuhannya. Masa depan anak bangsa itu yang penting baginya.
“ Teacher.. I don’t understand. What is mean by personification?” Soalan dari Adam membawanya ke alam nyata kembali.
Nisa’ beristighfar. Baru tersedar bahawa dia telah jauh terbang ke alam kampusnya dahulu. Nisa’ bangun dan berjalan ulang-alik ke belakang dan ke hadapan kelas sambil menerangkan dan menjawab soalan pelajarnya tadi. Sambil-sambil itu, Nisa’ memeriksa kerja para pelajarnya.
Sesi pembelajaran bersisa 15 minit lagi. Seperti kebiasaan, Nisa’ tidak hanya menjalankan tugasnya untuk mengajar, tetapi dia juga mendidik. Masa-masa terakhir sesi pengajaran dan pembelajaran akan digunakan oleh Nisa’  untuk mengaitkan nilai-nilai dan pengajaran dari novel dan short stories yang diajarnya dengan sirah kenabian dan para sahabat. Walaupun text yang diajarnya merupakan text dari barat, itu bukanlah penghalang untuknya bagi menerapkan nilai-nilai Islam di dalam sesi pengajarannya.
Islam itu cara hidup. Mana mungkin dapat diasingkan antara ilmu duniawi dengan agama. Apa yang penting, cara individu itu sendiri yang menjadikan setiap apa yang dikerjakannya seharian sebagai ibadah dan sentiasa selari dengan kehendak agama.
Nisa’ juga tidak lokek berkongsi doa-doa dan zikir amalan dengan pelajarnya agar setiap apa yang dipelajari mudah difahami dan kekal di ingatan.
“Students, listen here. I want you go back and find or search about sirah that related to our lesson today, which is about the value of determination. Make it in group of five and present it in class next week. Any question?”Nisa’ memberi tugasan kepada pelajarnya.
“ It is okay if I present about the determination of our prophet Muhammad p.b.h in spread the Islam?” Masyitah, inginkan kepastian.
“ Sure. Good idea. I wish all of you can do your best. Anything, you can come and see me. Well, I have something for those who show their effort for this task.” Nisa’ tersenyum, sambil memberi galakkan kepada para pelajarnya.
Para pelajar perempuan ingin bersalam dengannya, namun Nisa’ memberi isyarat supaya tidak perlu bersalam kerana, di luar kelas   Ustaz Hasbi sudah menanti, untuk sesi pengajaran yang seterusnya. Nisa’ tidak ingin mengambil masa ustaz tersebut.
“ Assalamualaikum..maaf ustaz, saya ambil masa ustaz.” Ujar Nisa’ saat bertembung dengan Ustaz Hasbi di luar kelas.
“ Waalaikumussalam w.b.t. It’s okay teacher. No big problem. Can I enter class and I go teaching first, teacher?. ” Balas Ustaz Hasbi sambil berseloroh.
Nisa’ maklum bahawa Ustaz Hasbi sahaja menggunakan broken English, bukan kerana dia tidak pandai berbahasa Inggeris, tetapi saja untuk menyakatnya. Nisa’ tersenyum sambil  berlalu menuju ke bilik guru.
*********
Pagi Nisa’ sentiasa bersemangat. Semangat paginya sentiasa disuntik dengan bayangan wajah-wajah anak didiknya yang sentiasa dahagakan ilmu dan didikan. Selesai membaca al-ma’thurat dan menghafal 2 ayat dari surah al-Hujurat pada pagi tersebut, Nisa’ menyidai telekung solatnya dan bersiap untuk ke sekolah. Disempatkan dirinya untuk menelefon buah hatinya, bonda tercinta untuk bertanya khabar sebelum melangkah mencari rezeki. Itulah prinsip hidupnya, keutamaannya adalah insan mulia itu. Sesibuk mana pun dirinya, ibu tetap mendapat tempat yang istimewa dalam diari hidupnya.
Hari ini di sekolah ada gotong-royong perdana. Nisa’ mengenakan jubah berseluar. Dipadankan dengan tudung labuh berwarna coklat tua. Tanpa secalit make-up , dia sudah tampil  berseri, kerana make-up nya hanya lah air wudu’ yang sentiasa dijaganya.
Nisa’ bersama-sama para pelajar kelas 2 Mawar membersihkan kawasan belakang kantin sekolah. Banyak meja dan kerusi yang telah rosak dilonggokkan di situ. Mereka menyusunnya ke tepi agar mudah untuk diangkut ke stor. Sampah sarap juga di kutip dan dimasukkan ke dalam plastik hitam. Selesai membersihkan kawasan tersebut, Nisa’ membawa pelajarnya ke kelas untuk membersihkan dan menceriakan lagi kelas tersebut.
Nisa’ kagum dengan sikap yang ditunjukkan para pelajarnya. Kerja yang banyak dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Mereka tolong menolong dan bekerjasama. Nisa’ tidak menghampakan usaha para pelajarnya. Nisa’ telah menyediakan sedikit jamuan untuk mereka. Nisa’ memang suka menjamu orang lain dengan masakannya. Satu kepuasan baginya apabila melihat orang lain gembira.
********
“ Kak Ana, Nisa’ nak minta tolong sikit boleh?” Nisa’ memusingkan kerusinya ke arah meja Ustazah Rohana, yang bersebelahan dengan mejanya.
“Minta tolong apa? Insyaallah, kalau akak mampu, akak tolong.” Balas Ustazah Rohana lantas memberhentikan tarian jemarinya di atas keyboardkomputer. Senyuman dilemparkan kepada Nisa’, tanda bersedia membantu Nisa’. Itu juga merupakan salah satu sunnah baginda, memalingkan badan kepada orang yang sedang bercakap.
“ Kak..akak free tak petang ni? Nisa’ nak minta tolong akak semak hafalan Nisa’ boleh?”
“Insyaallah.. Boleh.Dengan senang hati adikku.. Datang lah rumah akak petang ni.”  Ustazah Rohana sentiasa berlapang dada dalam membantu sahabat-sahabatnya. Itu yang membuatkan Nisa’ kagum padanya.
“Terima kasih kak.. Sayang Kak Ana.. Jiddan jiddan..” Nisa’ sengaja memanjakan dirinya di hadapan Ustazah Rohana. Sikap keanak-anakkannya juga terkadang terserlah dalam dirinya. Namun bukan bereerti dia manja. Dalam kelembutannya ada ketegasan.
“ Dah habis surah al-Hujurat?”
“Alhamdulillah.. dah kak.. Akak, nanti petang nak pinjam si comel akak boleh? Eeee..geramnya si comel  Humaira’ akak tu..”
“Mana aci..Asyik pinjam baby akak je.. Bila pulak akak boleh pinjam babyNisa’?” Saja Ustazah Rohana mengusik Nisa’.
“Ehem..ehem.. Kak..Tiba-tiba saya rasa sakit tekak.. Saya pergi ambil air kejap  ye..” Nisa’ mencipta alasan untuk melepaskan diri.
“ Ye la.. Macam la akak tak tahu.. Akak ada kelas ni. Nanti datang la rumah petang ni ye.. Baby Humaira’ tunggu aunty Nisa’ tau..” Ustazah Rohana mengambil buku-buku pelajarnya dan berlalu ke kelas.
“Insyaallah kak..Panjang umur, ada rezeki, saya datang lepas Asar.” Nisa’ tersenyum simpul sambil memegang segelas air di tangan kanannya.
********
Seperti yang dijanjikan petang tersebut Nisa’ ke rumah Ustazah Rohana bagi menyemak hafalannya. Nisa’ membawa sedikit buah tangan. Karipap  dan kuih ketayap yang dibeli di gerai hadapan sekolah.  Ustazah Rohana sangat berbesar hati dengan kunjungan Nisa’ ke rumah nya. Di bawa Nisa’ ke ruang tamu bagi memperdengarkan hafalannya.
Hanya Ustazah Rohana dan dua puterinya ada di rumah. Suaminya masih belum pulang dari kerja dan putera sulungnya tinggal di asrama di Sekolah Menengah Agama  Imtiyaz.
Nisa’ mengalunkan ayat-ayat Allah yang dihafalnya dengan penuh tertib. Dijaga  makhraj huruf dan hukum-hukum  tajwid. Selesai menyemak hafalan Nisa’, Ustazah Rohana meminta Nisa’ untuk membaca tafsir ayat pula. Kemudian mereka saling berkongsi ilmu mengenai tafsiran tersebut.
Nisa’ senang, ada sahabat usrah seperti Ustazah Rohana. Itulah peluangnya untuk menambah ilmu di dada dan berkongsi pula dengan para pelajarnya kelak.
Nisa’  meriba puteri bongsu Ustazah Rohana. Anak ustazah yang kedua, berusia 5 tahun juga turut setia di samping Nisa’. Sifat keibuannya mencuit hati kanak-kanak untuk mudah mesra dengannya.
Ustazah Rohana keluar dari dapur sambil membawa dulang berisi air dan hidangan petang. Ustazah Rohana tersenyum melihat telatah Nisa’ melayan anak-anaknya.
“Nisa’, akak tanya sikit boleh? Tapi maaf la, soalan peribadi ye..?”

“ Akak, nak bagi Nisa’ sakit tekak lagi ke?” Nisa’ bergurau.
“Aik..macam tahu je.. Tapi takpela.. Sakit tekak sikit ye.. Untuk masa depan jugak” Ustazah Rohana tersenyum.
“Insyaallah kak.. Tanyalah, Nisa’ tak kisah”

“Emmm.. Nisa’ dah berpunya ke? Cantik cincin kat jari tu.”

“Alhamdulillah.. Nisa’ ni milik orang yang Nisa’ sayang. Cincin ni dari orang yang istimewa kak..Mak Nisa’ yang hadiahkan..” Nisa’ menahan gelak melihat reaksi Ustazah Rohana yang agak terkejut pada mulanya.
“Nisa’…” Ustazah Rohana mencubit peha Nisa’ yang kurang serius menjawab soalannya.
“ Ya Allah.. Betullah kak. Nisa’ ni kepunyaan mak dan ayah. Pinjaman dari Allah”. Nisa’ ketawa lagi.
“Tak la, maksud akak, dah dimiliki sang mujahid ke?”

“Sorry..sorry..Nisa’ saje je nak usik akak sebelum akak bagi soalan cepu cemas pada Nisa’.. Emmm.. Mujahid?..Sape la Nisa’ ni kak.. Mujahid mana la yang sudi..” Nisa’ senyum tawar. Air muka nya berubah mengingatkan kisah yang lepas. Tapi baginya biarlah yang lepas tu dijadikan pengajaran hidupnya.
“ Akak minta maaf dik. Tapi akak tanya ni sebagai seorang kakak kepada adik. Akak serius.” Ustazah Rohana mengambil Humaira’  yang mula merengek dari pangkuan Nisa’ .
“ Setakat ni, Nisa’ tak dimiliki mana-mana mujahid lagi kak. Mak kat kampung ada juga tanya soal ni. Tapi Nisa’ senyum je..”

“Kalau Nisa’ tak kisah, akak nak melamar Nisa’ untuk seseorang boleh?”

“Akak…” Nisa’ tertunduk malu. Mukanya terasa panas.
“Tak perlulah malu dengan akak. Insyaallah, akak ikhlas nak tolong adik akak yang solehah ni..”

“Astaghfirullah kak.. Jauhnya Nisa’ nak capai tahap tu. Tapi apa-apa pun terima kasih kak. Insyaallah, kalau masanya dah sampai, mak ayah redha, dan dia lah pilihan dari Allah, Nisa’ terima dengan penuh kerendahan hati”

“Alhamdulillah..Kalau itu kata Nisa’ Insyaallah, akak akan usahakan yang terbaik.”
Ustazah Rohana begitu sayang pada Nisa’. Meskipun baru mengenali  Nisa’, beliau menganggap Nisa’ seperti adiknya. Itulah indahnya ukhwah yang di dasari akidah. Saling mengasihi saudara seperti mengasihi diri sendiri.
*******
Seperti biasa,  pada hari Isnin kelas Nisa’ adalah sebelum kelas Ustaz Hasbi di kelas 2 Mawar. Pada hari tersebut, Nisa’ mengadakan ujian bulanan kepada pelajarnya dan mengambil masa sedikit bagi memungut kertas ujian pelajarnya.
Nisa’ tergesa-gesa mengemas barang-barangnya dan keluar dari kelas,kerana bimbang Ustaz Hasbi menunggu lama di luar kelas.
Sedang  Ustaz Hasbi mengajar, sebuah telefon bimbit yang sedia ada di atas meja di hadapan kelas berbunyi. Baru pelajarnya tersedar bahawa teachermereka tertinggal telefon di atas meja tersebut.
Ustaz Hasbi meminta Adam ke bilik guru untuk memulangkan telefon tersebut kepada Nisa’. Namun selepas mencari Nisa’ di bilik guru,  Adam diberitahu oleh Cikgu Hasyimah bahawa Nisa’ keluar, ada urusan di luar sekolah. Telefon tersebut kembali bertukar tangan kepada Ustaz Hasbi.
Ustaz  Hasbi ke bilik guru setelah sesi pengajarannya tamat bagi memulangkan telefon milik Nisa’. Namun Nisa’ tiada. Kemudiaan telefon bimbit milik Nisa’ berirama . Nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon.
“ Assalamualaikum..” Ustaz Hasbi menyambut panggilan.
“Waalaikumussalam. Maaf, boleh saya tahu, siapa ni?” Suara Nisa’ kedengaran di balik corong telefon.
“Ana Ustaz Hasbi.Ni  Teacher Nisa’ ke? Ana jumpa telefon anti kat kelas 2 Mawar tadi.”

“Ya saya. Alhamdulillah. Puas saya cari. Terlupa letak kat mana. Terima kasih ustaz. Ustaz kat mana ni?”

“Ana dah dalam perjalanan ke rumah ni. Macam ni, nanti lepas Asar kita jumpa depan kedai Kak Yam. Ana nak pulangkan telefon ni”

“Insyaallah..Lepas Asar. Terima kasih ustaz. Assalamualaikum.” Nisa’ menamatkan panggilan telefon.
“Wa’alaikumussalam w.b.t”. Ustaz Hasbi menyimpan telefon tersebut di dalam poketnya sambil memikirkan siapa yang akan menjadi temannya untuk bertemu Nisa’ pada petang tersebut. Ustaz Hasbi tersenyum. Gambaran anak saudaranya bermain di fikiran.
******
                                    Nisa’ memandu kancil putihnya menuju ke kedai Kak Yam, berhampiran pagar belakang sekolah. Satu-satunya kedai runcit di kawasan tersebut. Di situ juga merupakan tempat Nisa’ berbelanja barangan keperluan nya. Memang tidak sebesar pasar raya di bandar, tapi Nisa’ cukup bersyukur, kerana segala barang keperluan dapur dan peribadinya boleh di dapatkan di situ.
Sampai di hadapan kedai Kak Yam, Ustaz Hasbi keluar dari keretanya  kerana bimbang Nisa’ tidak nampak kalau dia menunggu di dalam kereta. Anak saudara perempuan nya turut sama berdiri di luar  kereta.
Dari jauh, Ustaz Hasbi melihat seorang perempuan berniqab berjalan ke arahnya. Ustaz Hasbi mengarahkan pandangannya ke arah lain. Perempuan tersebut semakin hampir kepadanya.
‘Siapa  pula ni ?’ Getus Ustaz Hasbi di dalam hatinya.
“Assalamualaikum ustaz. Maaf, ana lambat.”

“Waalaikumussalam wbt. Takpe, ana pun baru sampai. Teacher Nisa’ ke ni? Maaf ana tak perasan tadi” Ustaz Hasbi kelihatan sedikit terkejut apabila tahu perempuan berniqab yang menyapanya adalah Nisa’.
“Ya saya. Nisa’.” Nisa’ memang memakai niqab. Cuma di sekolah dia terpaksa menanggalkannya kerana itu antara  peraturan sekolah yang terpaksa di patuhinya.
“ Ni telefon anti. Tengok lah kalau-kalau ada yang rosak.” Ustaz Hasbi menghulurkan telefon tersebut kepada anak saudaranya untuk diserahkan kepada Nisa’.
“Insyaallah takde apa. Terima kasih banyak ustaz, tolong jagakan telefon saya ni.” Nisa’ menyambut telefon tersebut dan memasukkannya ke dalam beg tangannya.
“La syukran, ala wajib.. Kebetulan ana yang jumpa tadi. Ana ada minta Adam bagi pada anti, tapi dia kata anti takde kat bilik guru tadi.”

“ Oh ye ke.. ana minta maaf sekali lagi, susahkan ustaz.”

“Takde susah pun. Ana minta diri dulu ye.  Nak bawak anak saudara ana ke rumah kawannya.” Ustaz Hasbi minta diri sambil menyuruh anak saudaranya menyalami Nisa’.
“Baiklah. Assalamualaikum ustaz” Nisa’ juga turut beredar ke keretanya.
*******
 Nisa’ yang sedang asyik menanda buku-buku pelajarnya di bilik guru tersentak apabila telefon bimbitnya berirama. Panggilan dari Cikgu Hasyimah.
“ Assalamualaikum, Nisa’ kat mane ni? Datang ke kelas 1 Mawar sekejap ye. Ada pelajar pengsan”. Suara Cikgu Hasyimah cemas.
“Waalaikumussalam. Ya Allah..Pengsan? Baik kak. Nisa’ ke sana”. Segera di tamatkan panggilan tersebut dan Nisa’ bergegas ke blok yang bersebelahan dengan blok perpustakaan sekolah.
Sesampai di sana, Nisa’ terus mendapatkan pelajar perempuan tersebut. Cikgu Hasyimah memangku pelajar tersebut sambil mengibas-ngibas dengan kipas kertas.
“Aisyah..Aisyah…Bangun…Aisyah..” Nisa’ menepuk-nepuk perlahan pipi pelajarnya.
Para pelajar  lain diarahkan untuk ke tepi bagi memberi pengudaraan yang baik di kawasan tersebut. Pelajar lelaki semuanya berada di luar kelas.
Terkumat-kamit mulut Aisyah membaca surah-surah pilihan, sambil tangannya mengusap lembut kepala Aisyah. Hatinya juga tidak putus-putus berdoa agar pelajarnya itu selamat. Muka Aisyah kelihatan pucat sekali dan tangannya sejuk.
Cikgu Hasyimah merenjis-renjis air ke muka Aisyah, dengan harapan dapat menyedarkan pelajarnya. Namun, tiada tindak balas yang diberikan. Tanpa berlengah, Nisa’ dibantu Cikgu Hasyimah dan beberapa pelajar perempuan yang lain memangku Aisyah keluar kelas dan dibawa ke keretanya. Nasib baik, Aisyah pelajar yang kecil molek.
Nisa’ memandu keretanya ke hospital. Sepanjang perjalanan, Nisa’ tidak putus-putus berdoa. Hatinya cukup risau akan keadaan pelajarnya yang kelihatan begitu lemah. Cikgu Hasyimah tidak turut ke hospital kerana  mengawal pelajarnya yang lain di kelas.
Di hospital, kelihatan Nisa’ berjalan mundar-mandir sementara menunggu doktor keluar dari bilik kecemasan. Ibu bapa Aisyah juga sudah dimaklumkan tentang keadaan anak mereka. Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke hospital.
“Maaf cik. Boleh saya tahu cik ni waris pesakit ke?”. Seorang doktor keluar dari bilik kecemasan.
“Saya cikgunya. Kenapa dengan pelajar saya doktor?”. Nisa’ risau.
“Alhamdulillah. Pelajar cikgu dah sedar. Insyaallah, tiada yang serius. Cuma beliau sedikit penat dan perutnya kosong, Insyaallah , tak perlu tinggal di wad. Nanti cikgu boleh ambil ubatnya di kaunter ye.” Doktor muda itu memberi penjelasan.
“Alhamdulillah.Terima kasih banyak doktor”.  Nisa’ kelihatan sedikit lega.
Nisa’  berjalan menuju ke arah pelajarnya yang berada di katil wad kecemasan. Nisa’ memimpin pelajarnya keluar dan menuju ke kaunter ubat. Sebelum pulang ke sekolah, Nisa’ membawa pelajarnya tersebut ke kantin hospital bagi membeli makanan untuk pelajarnya. Di sana juga Nisa’ bertemu dengan ibu bapa Aisyah.
Nisa’ senang dapat bertemu dengan ibu bapa Aisyah dan bertanyakan keadaan yang sebenar tentang Aisyah.Nisa’ begitu prihatin dan mengambil berat akan hal kebajikan para pelajarnya.
Aisyah merupakan pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Baru Nisa’ tahu di luar waktu sekolah, Aisyah terpaksa bekerja untuk membantu keluarganya. Ayah dan ibunya tidak memaksa, tetapi selaku anak sulung, Aisyah rasa bertanggungjawab untuk membantu dan bekerja sebagai tukang cuci di kedai makan.
Hati Nisa’ cukup tersentuh dengan kemuliaan hati pelajarnya tersebut. Sebagai seorang guru yang prihatin, Nisa’ membawa hal tersebut ke pihak atasan sekolah bagi membantu pelajarnya tersebut. Secara peribadinya juga, Nisa’ juga tidak lokek untuk membantu meringankan beban Aisyah agar pelajarnya itu dapat memberi perhatian yang baik dalam pelajaran.
*********
“ Kak, kenapa akak minta datang rumah akak petang Ahad nanti?” Nisa’ menyoal Ustazah Rohana yang tersenyum manis di sisinya.
Suprise…Bak kata Siti Nurhaliza, biarlah rahsia..” Ustazah Rohana tetap ingin berahsia.
“Alaaa.. Nak suprise suprise plak.. Ok ,takpe la kalau akak tak nak bagitau. Sabar tu indah kan kak.” Nisa’  juga tidak mahu mengalah. Saja ditunjukkan bahawa dia tidak kisah.
“Bagus.. Jangan lupa tau, petang Ahad nanti.Akak tunggu.” Ustazah Rohana seolah-olah memancing rasa ingin tahu Nisa’ lagi.
“Insyaallah kak..”
Nisa’ mengetatkan niqob nya yang sedikit longgar. Ditutup suis kipas di ruang tamu dan dicapai kunci rumah  yang berada di atas meja.
‘Bismillahitawwakal tu’alallah’
Nisa’ melangkah keluar dari rumahnya. Di tangan kanannya di bimbit plastik berisi buah epal dan oren, buah tangan untuk Ustazah Rohana sekeluarga.
Sampai di hadapan rumah Ustazah Rohana, Nisa’ memberi salam. Suami Ustazah Rohana, Ustaz Amin keluar membuka pintu pagar sambil mendukung puteri bongsunya.  Ustaz Amin menjemput Nisa’ masuk. Ustazah Rohana sibuk di dapur, menyediakan hidangan untuk tetamunya.
“Nisa’, jemput duduk dulu ye. Abang panggil Kak Ana.” Ustaz Amin meletakkan Humaira’ di atas tilam di ruang tamu dan berlalu ke dapur, memanggil isterinya.
“Takpela abang. Kalau Kak Ana ada kerja kat dapur, biarlah dulu. Susahkan Kak Ana je.” Nisa’  duduk di tepi tilam Humaira’ dan mengagah puteri pasangan ustaz dan ustazah tersebut.
“ Nisa’.. Alhamdulillah..Sampai pun.” Ustazah Rohana keluar dari dapur dan menyalami Nisa’ yang bersimpuh manis di lantai sambil memegang Humaira’.
“ Maaf, ganngu akak ke ni. Nisa’ datang nak tuntut suprise akak ni..” Nisa’  tersengih mengenakan Ustazah Rohana.
“ Tak ganggu pun, akak buat air kat dapur tadi.. Takpe ,abang dah ambik alih tugas kat dapur tu.” Ustazah Rohana menunding jarinya ke arah dapur, sambil tersenyum bangga dengan peribadi suaminya.
Begitulah kebiasaan Ustaz Amin. Sentiasa ringan tulang untuk membantu isterinya dalam menguruskan rumah tangga. Begitu keperibadian junjungan Nabi Muhammad s.a.w diusahakan untuk dicontohinya. Baginda sangat rajin membantu isteri-isterinya.
“Nisa’, sebenarnya bukan Nisa’ sorang je tetamu akak petang ni.” Nada suara Ustazah Rohana sedikit serius.
“Akak ada tetamu lain? Maaf la, Nisa’ datang salah waktu. Ganggu urusan akak.” Nisa’ kelihatan serba salah.
“Eh..Bukan macam tu maksud akak. Memang hajat akak jemput Nisa’ petang ni sebab nak temukan Nisa’ dengan tetamu akak tu nanti” Ustazah Rohana menjelaskan keadaan yang sebenar.
“Ya Allah. Ni betul-betul suprise ni.. Takut plak Nisa’ dengar.” Nisa’ membulatkan matanya.
“Insyaallah, tetamu akak tu manusia, bukan singa. Jangan takut. Insyaallah, dia pun dah dalam perjalanan. Sabar kejap ye. Sabar tu kan indah. Betul tak teacher?.” Ustazah Rohana mengusik Nisa’.
Sambil-sambil mereka berborak, terdengar seseorang memberi salam dari luar rumah. Sekali lagi Ustaz Amin keluar untuk mempersilakan tetamunya masuk.
“Jemput masuk Hasbi”. Ustazah Rohana bangun dan mempersilakan tetamunya masuk.
Nisa’ yang duduk membelakangi pintu utama, tersentak apabila mendengar sebaris nama tersebut keluar dari mulut Ustazah Rohana.
‘ya Allah. Ustaz Hasbi? Kak Ana nak kenalkan aku dengan Ustaz Hasbi? Bukan ke kami dah kenal?’ 
Macam-macam persoalan bermain dalam fikirannya. Tetiba badannya terasa sejuk. Namun segera di kawalnya. Nisa’ bangun bagi meraikan kedatangan Ustaz Hasbi. Humaira’ didukungnya.
“Jemput Hasbi, Nisa’ . Jom ke meja makan. Hidangan dah sejuk. Bukan senang nak rasa air tangan Abang Amin ni.” Ustazah Rohana bergurau sambil mengawal suasana yang senyap seketika. Ustazah Rohana seolah-olah dapat membaca riak wajah Nisa’ walaupun wajah jernih milik Nisa’ terselindung di sebalik sehelai kain.
“Terima kasih kak. Abang. Susah-susah je” Ustaz Hasbi bersuara sambil tangannya memimpin puteri kedua Ustazah Rohana yang kelihatan sangat manja dengannya menuju ke meja makan.
“Nisa’ , letak dulu Humaira’ atas tilam. Jom makan dulu.” Ustazah Rohana mengejutkan lamunan Nisa’.
Tanpa berlengah, Nisa’ hanya akur. Diletaknya Humaira’ di atas tilam dan menyuakan puting kosong ke mulut Humaira’. Humaira’ sememangnya anak yang baik. Tidak susah menjaganya.
Nisa’ mengusap ubun-ubun bayi tersebut dan bangun ke dapur bagi membantu Ustazah Rohana mengambil apa-apa yang tertinggal di dapur.
Di dapur, Nisa’ berbicara sesuatu dengan Ustazah Rohana.
“Kak..Kenapa akak tak cakap awal-awal. Pandai akak aturkan rancangan ye. Ya Allah, Nisa’ nak buat pe ni? Macam-macam rasa kat dalam ni.” Nisa’ meletakkan tangannya ke dada.
“ Insya-Allah, takde pe dik. Insyaallah, sama-sama kita doa ye moga-moga Allah mudahkan urusan kebaikan kalian berdua. Bukan apa, kita cuma nak taaruf. Akak tak memaksa untuk Nisa’ buat keputusan sekarang. Pilihan dan keputusan di tangan Nisa’ dan Hasbi. Lagi satu, terpulang pada Nisa’ nak buka niqob atau tak. Akak hormati pendirian Nisa’.’’
Ustazah Rohana mengusap-usap belakang Nisa’, memahami gementar Nisa’ saat itu. Ukiran senyuman tak putus-putus bagi menyejukkan hati Nisa’
********
 Sebenarnya, pertemuan pada petang itu sudah diketahui Ustaz Hasbi. Cuma Nisa’ sahaja yang tidak tahu menahu mengenai hal  tersebut. Ustaz Hasbi juga merupakan rakan usrah Ustaz Amin. Sudah lama diutarakan hajatnya untuk mendirikan masjid kepada Ustaz Amin, dan meminta tolong untuk mencarikan calon yang sesuai buatnya.
Ustaz Amin juga meminta Ustazah Rohana memainkan peranannya untuk membantu Ustaz Hasbi yang sudah dianggap sebagai adiknya itu. Bagi Ustazah Rohana, Nisa’  merupakan calon yang sesuai untuk  Ustaz Hasbi.
Ustaz Hasbi hanya setahun lebih tua dari Nisa’. Nisa’ kini berusia 23 tahun. Mereka berdua sama-sama padan. Masing-masing sangat istiqamah dalam perjuangan membantu gerak kerja agama.
Pertemuan pada petang tersebut bukan lah pertemuan yang terakhir. Di atas persetujuan kedua-dua belah pihak, pertemuan antara dua keluarga di atur. Semuanya diatur dan di uruskan oleh Ustaz Amin dan Ustazah Rohana.
Nisa’ dan Ustaz Hasbi tidak henti-henti meletakkan harapan dan kebergantungan pada Allah melalui solat sunat istiqarah. Malam-malam mereka dihidupkan dengan titisan air mata dan sujud panjang dalam tahajud. Pada Allah lah diserahkan urusan mereka. Urusan membina sebuah rumah tangga bukanlah satu perkara yang main-main. Hal ini sangat berkait rapat dengan akhirat mereka. Musyawarah dan perbincangan tetap diteruskan sehinggalah kata putus dicapai.
*******
Seminggu lagi merupakan peperiksaan percubaan untuk pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun tersebut. Nisa’ dan guru-guru lain sudah pastinya antara orang yang sibuk membuat persiapan untuk anak didik mereka.
Siang malam kelas tambahan diadakan untuk membantu para pelajar meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Tidak cukup dengan itu, program-program kerohanian turut dijalankan. Setiap pagi, para pelajar akan berkumpul di surau sekolah untuk membaca surah Yassin secara berjemaah. Pada setiap malam Jumaat juga, pihak sekolah mengadakan majlis solat hajat.
Nisa’ banyak mengorbankan masanya untuk membuat kelas tambahan bersama pelajarnya. Pada hujung minggu, Nisa’ mempelawa para pelajarnya yang kurang cemerlang dalam pelajaran untuk ke rumahnya. Nisa’ memberi kelas tambahan secara percuma kepada mereka. Nisa’ banyak menekankan bahagian essay dan Grammar.
Dalam kesibukan menghadapi pelajarnya, Nisa’ juga tidak lepas tangan untuk menguruskan urusan perkahwinan nya nanti. Tarikh pernikahan telah ditetapkan sewaktu majlis pertunangan dua bulan yang lepas.  Ustaz Hasbi meminta agar dilangsungkan majlis akad nikah dan walimah mereka pada cuti sekolah yang akan datang. Bermakna hanya tinggal 7 minggu sahaja lagi.
Nisa’ berasa sangat bersyukur kerana Ustazah Rohana banyak membantunya dalam membuat persiapan. Segalanya juga mudah diuruskan kerana Ustaz Hasbi dan Nisa’ bekerja di bawa satu bumbung. Mudah bagi mereka berurusan dengan bantuan Ustazah Rohana dan Ustaz Amin.
******
Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan SPM berlangsung. Ini juga bermakna hari bersejarah buat Nisa’ dan Ustaz Hasbi semakin hampir. Selepas selesai urusannya di sekolah pada petang tersebut, Nisa’ terus memandu keretanya ke kampung. Ustazah Rohana berjanji untuk ke kampung Nisa’ bersama dengan rombongan pihak lelaki nanti.
Petang Jumaat yang penuh keberkatan itu menyaksikan penyatuan dua insan yang mengikat cinta mereka di jalan Allah. Dengan sekali lafaz, kini sudah sah Solehatul Nisa’binti Ahmad menjadi suri hidup kepada Muhammad Hasbi bin Usman.
Majlis mereka sederhana. Ustaz Hasbi mengenaka jubah dan berkopiah putih. Begitu juga Nisa’. Berseri dalam busana pengantin muslimah. Bertudung labuh putih dari jenis kain satin. Jubah putihnya dihias manik-manik halus dan sedikit labuci di kaki lengan. Mahkota kecil tersemat kemas di kepala, di alas denganveil  labuh bewarna krim. Niqob butterfly menjadi pilhan hati untuk dikenakan pada hari istimewa tersebut.
Hadirin yang datang saling mendoakan untuk pasangan pengantin. Ramai rakan-rakan guru dan anak murid mereka yang hadir. Masing-masing bersyukur melihat  2 insan yang hatinya terikat pada jalan dakwah akhirnya bersatu.
Kedua mempelai mendirikan solat sunat pengantin di bahagian hadapan masjid. Tak putus-putus pujian kesyukuran dipanjatkan kepada Allah. Sebelum menyarunkan cincin di jari manis , Ustaz Hasbi menyeka mutiara jernih yang tak henti-henti mengalir di pipi isteri tercinta. Sudah basah kain niqob Nisa’ dek air mata kesyukurannya.
Dibisikkan sesuatu di sisi isterinya yang membuatkan Nisa’ mengukirkan senyuman yang cukup manis di balik niqob nya.
“Tak sangka ya teacher, sebelum ni asyik curi masa mengajar saya di kelas 2 Mawar, sekarang teacher dah curi hati saya pulak ye..” Ustaz Hasbi mengusik isterinya. Nisa’ hanya tertunduk malu.
Hati mereka berdoa agar perjuangan mereka terus istiqamah dan dapat saling menguatkan antara satu sama lain dalam menuju redha Allah. Moga bahtera yang di bina mampu di bawa ke syurga Allah.

No comments:

Post a Comment